Semasa

Fahmi dakwa kenyataan mengenai isu Coldplay diputar belit, mahu saman pihak fitnah dirinya

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bercadang mengambil tindakan saman ke atas pihak yang memfitnah dirinya berhubung isu penganjuran konsert Coldplay.

Merujuk satu hantaran berbentuk infografik diterbitkan badan dikenali sebagai Gerakan Pengundi Sedar yang tular.

Jelasnya, kenyataan pada infografik itu yang diseleweng daripada laporan Berita Harian terhadap komennya mengenai acara itu berjalan lancar hasil kerjasama daripada pelbagai pihak ternyata berbaur pembohongan dan tersasar daripada konteks sebenar.
.
“Ia mendakwa konon saya mengucapkan ‘Alhamdulillah, konsert itu berjalan dengan baik’, walhal tuduhan ini bersifat fitnah malah berniat jahat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menegaskan bahawa laporan asal yang disiarkan media itu dapat dibaca melalui laman sesawangnya dan bukan seperti digambarkan gerakan tersebut.

“Jawaban penuh saya boleh diperoleh dari laman web Berita Harian.

“Ia lari daripada apa yang saya sebut sendiri dan saya akan minta peguam untuk teliti pihak yang membuat infografik berkenaan sebelum diambil tindakan undang-undang,” tegasnya ketika ditemui pemberita di Putrajaya pada Ahad.

Konsert ‘Coldplay: Music of the Spheres World Tour in Kuala Lumpur’ itu berlangsung meriah di Stadium Nasional pada 22 November lalu dengan dihadiri kira-kira 85,000 penonton.

Berita Harian menulis konsert Coldplay yang berlangsung dengan aman membuktikan kerjasama bersepadu pelbagai pihak mampu menghasilkan sesuatu yang positif.

Fahmi dilaporkan berkata kerjasama erat antara artis, penganjur, dan pihak berkuasa merupakan “cara terbaik”, dan berharap hubungan baik itu dapat diteruskan pada masa depan.

Sementara itu fahmi memberikan peringatan kepada semua pengguna media sosial agar tidak menyebarkan hantaran berbaur fitnah dan menyemai perasaan kebencian.

Related Articles

Back to top button