Nasional

KDN akan segera urusan pindaan Perlembagaan Persekutuan terkait isu kewarganegaraan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyegerakan urusan bagi membuat satu pindaan pada Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan soal kewarganegaraan, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, ia merupakan keutamaan KDN, dan pada masa ini proses itu telah melepasi sesi perbincangan di peringkat Jemaah Menteri serta telah dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

“Sekarang dalam ‘fine tuning’ ayat dan juga bahasa yang akan digunakan dalam penggubalan rang undang-undang (itu),” katanya ketika sesi penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Sebelum ini KDN dilaporkan akan membuat keputusan muktamad sama ada pindaan peruntukan berkaitan kewarganegaraan itu akan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan, atau ia hanya akan melibatkan akta serta peraturan sedia ada.

Menyentuh mengenai sistem parol, perintah kehadiran wajib dan pembebasan berlesen kepada penghuni penjara, beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, selain dapat mengurangkan kesesakan di penjara, program itu membuahkan hasil positif apabila hanya seorang daripada 800 banduan yang mengikutinya kembali ke penjara.

“Secara teknikalnya mereka adalah penghuni penjara, tetapi berada di luar (penjara) secara fizikal. (Menerusi kaedah ini), kita cari hampir 200 syarikat seperti Panasonic, SWCorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) untuk mereka bekerja.

“Kita akan luncurkan lebih banyak program seperti ini sebagai contoh ihsan kita terhadap penghuni penjara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata satu lagi premis penempatan anak-anak pendatang tanpa izin akan dibuka di Papar, Sabah bulan depan sebagai prinsip ihsan kerajaan Madani terhadap kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapa ketika operasi Jabatan Imigresen.

Pada 1 November lepas, beliau dilaporkan berkata sebahagian daripada kira-kira 1,000 tahanan kanak-kanak warga asing yang sebelum ini ditempatkan di 19 depoh imigresen di seluruh negara sudah dipindahkan ke pusat penempatan sementara dinamakan Baitul Mahabbah di Nilai, Negeri Sembilan.

Katanya, pemindahan kanak-kanak daripada depoh imigresen itu adalah atas dasar kemanusiaan, selaras komitmen kerajaan dalam melindungi hak kanak-kanak tanpa mengira status seperti dinyatakan dalam Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC). – Bernama

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button