Negeri

Kerajaan Kelantan disaran tubuh jawatankuasa tangani ancaman harimau

Ketua Pembangkang DUN Kelantan Mohd Syahbuddin Hashim mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani masalah hidupan liar ketika ini.

Tegasnya, penubuhan jawatankuasa itu sangat penting kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan, keselamatan, ketenteraman dan keamanan rakyat negeri itu terutama di Jajahan Gua Musang.

“Kita sering mendengar ulasan atau alasan agensi terlibat bahawa mereka tidak mempunyai cukup kakitangan dan kelengkapan terutamanya perangkap apabila melibatkan harimau belang.

“Satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan segera di antara Pejabat Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan (SUK) dan agensi berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian seberapa segera,” katanya.

Mohd Syahbuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata begitu ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan seorang warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemukan maut dalam keadaan mengerikan selepas dipercayai dibaham harimau di kawasan kebun getah Kuala Wak, Pos Pasik, Gua Musang sehari sebelumnya.

Ia disusuli seorang lelaki warga Myanmar, Ah Ka Soe Ya, 22, yang menjadi mangsa kedua dalam tempoh kurang 48 jam dalam kejadian di ladang Kampung Meranto, Gua Musang pada 11 November lalu.

Dalam kejadian lain seorang pemuda Muhammad Zulhilmi Mokhtar, 26, cedera selepas berlari sejauh 100 meter sambil berkaki ayam selepas motosikal ditungganginya dipercayai merempuh seekor harimau belang dalam kejadian di Jalan Gua Musang-Jeli pada 13 November.

BACA LAGI: Serangan harimau jadi sebab mengapa cadangan kerajaan Kelantan perlu dibantah

Selain kes berkenaan, seorang lelaki Orang Asli, Halim Asin, 27, ditemukan maut dalam keadaan telungkup di Kuala Sungai Tunggul, Gua Musang akibat serangan harimau pada Mei, manakala lelaki Orang Asli, Pisie Amud, 25 ditemukan maut dengan kesan cakaran harimau pada 4 Oktober lalu.

Sementara itu Mohd Syahbuddin memberitahu, situasi terkini gangguan harimau belang di Gua Musang menyebabkan rakyat kini takut untuk keluar rumah dan menjejaskan aktiviti harian mereka.

“Juga sudah dikenal pasti kemunculan harimau belang di beberapa lokasi. Kerana itu sebuah jawatankuasa khas perlu diwujudkan segera. Kalau perlu beli perangkap… belilah dan kerajaan negeri bantulah sebab ini melibatkan ketenteraman dan keamanan rakyat,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button