Semasa

KUD@Putrajaya 2023 catat transaksi RM12.5 juta, berjaya lepasi sasaran

Sasaran awal Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi penganjuran karnival Usahawan Desa (KUD) @Putrajaya 2023 berjaya melepasi sasaran.

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, karnival yang diadakan selama lima hari itu telah mencatatkan kehadiran seramai 1,045,412 pengunjung dan transaksi jualan secara tunai, padanan perniagaan dan tempahan bernilai lebih RM12.5 juta.

Ia jelasnya lagi dilihat bukan sahaja mencapai impak bukan sahaja daripada segi jumlah jualan, malah memberi persepsi positif bahawa kualiti produk usahawan tempatan khususnya usahawan desa setanding produk import luar negara.

“Tarikan utama karnival ialah komponen produk pelancongan luar bandar yang berjaya menambat hati pengunjung dengan memberi peluang mereka menikmati pengalaman bercuti di desa.

“Komponen ini antara sektor pembangunan ekonomi luar bandar yang berpotensi untuk dimajukan, bukan sahaja menjana pendapatan tetapi memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar,” katanya ketika merasmikan majlis penutup KUD@Putrajaya pada Ahad.

BACA LAGI: KKDW komited perkasa ekonomi luar bandar, termasuk di komuniti Orang Asli

Dalam pada itu, Rubiah berkata, pengenalan KUD sebagai produk pelancongan itu melibatkan penyertaan Lembaga Kemajuan Wilayah di bawah KKDW di seluruh negara serta Program Desa Lestari di samping pengenalan kepada Konsep Desa Sejahtera.

“Penganjuran KUD@Putrajaya 2023 ini menjadi platform terbaik bagi usahawan desa yang mendapat bimbingan KKDW, agensi dan usahawan luar bandar berpotensi yang memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Ia bukan sekadar mampu memperkasa masyarakat perdesaan dengan aktiviti perniagaan, malah dapat menyantuni masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Pada acara itu, Rubiah turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung bertuah, Mohammad Amirul Ashraf Napi yang memenangi hadiah kereta Perodua Myvi.

Related Articles

Back to top button