Lawatan Putera Albert II sebagai tanda persahabatan Monaco-Malaysia – Agong
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan lawatan Putera Albert II sebagai tanda persahabatan yang erat antara Monaco dan Malaysia.
Dalam titahnya, baginda berharap kerjasama antara dua negara dapat memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Putera Monaco, Putera Albert II di Istana Negara, hari ini.
Istiadat sambutan Putera Albert II bermula di Dataran Kawad Istana Negara dengan nyanyian lagu kebangsaan Monaco dan Negaraku diiringi 21 das tembakan meriam.
Putera Albert II seterusnya memeriksa kawalan kehormat utama sebelum menyempurnakan upacara menanam pokok keranji diiringi Yang di-Pertuan Agong di halaman Istana Negara.
Hadir sama pada istiadat sambutan negara Putera Albert II ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz antara yang hadir meraikan kunjungan Putera Albert II.
Pada sesi menghadap itu, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (Kehormat) dan Darjah Kerabat Seri Indera Mahkota Pahang kepada Putera Albert.
Disusuli dengan penganugerahan Grand- Croix de l’Ordre de Saint-Charles daripada Putera Albert II kepada Al-Sultan Abdullah.
Esok, delegasi Putera Monaco akan melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, di Pahang sebelum berangkat pulang Rabu ini.
Baca juga: