PM Anwar ke Selatan Thailand temui Srettha, bincang kerjasama dua negara
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Sadao, Thailand, hari ini, dengan fokus untuk membincangkan isu berkaitan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand dengan rakan sejawatannya Srettha Thavisin.
Lawatan atas jemputan Srettha itu, antara lain bertujuan bagi melihat kemajuan projek jajaran jalan menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.
Anwar diiringi beberapa menteri, timbalan menteri termasuk Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Perdana Menteri tiba di bangunan baharu CIQ Sadao sekitar 11 pagi (waktu tempatan, Malaysia 12 tengah hari) dan mengadakan pertemuan empat mata dengan Srettha.
Kedua-dua pemimpin kemudian melawat tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, yang merupakan projek dua hala yang sedang dilaksanakan Malaysia dan Thailand.
Perdana Menteri kemudiannya menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan Perdana Menteri Thailand di sebuah hotel, sebelum kedua-dua pemimpin bertolak ke ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, Malaysia bagi melawat fasiliti itu.
ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao merupakan sempadan penting kedua-dua negara dan antara pintu keluar dan masuk utama perdagangan dan pelancongan dua hala antara Malaysia dan Thailand.
Tahun lalu, jumlah dagangan dua hala melalui ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao menjangkau jumlah RM33.67 bilion, sementara kemasukan pelancong warga Thailand ke Malaysia melalui sempadan berkenaan bagi tempoh Januari hingga Jun ini ialah seramai 212,691 orang.
Baca lagi: