Semasa

Polis buka kertas siasatan susulan tawaran wang untuk bunuh PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung penularan sebuah video yang menawarkan habuan kepada individu yang sanggup membunuh Perdana Menteri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut dan maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita memandang serius perkara ini dan siasatan akan menjurus kepada tangkapan individu berkaitan,” katanya dipetik.

Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok ‘Jaiadani89’ yang menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik.

BACA LAGI: AMK buat laporan polis ancaman bunuh PM Anwar

Susulan itu Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Ahad membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya agar siasatan dibuat terhadap individu berkenaan.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim dilaporkan berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah dilihat seolah-olah ingin mencabar pihak berkuasa.

Difahamkan video berkenaan bagaimanapun telah dikeluarkan daripada platform media sosial berkenaan.

Related Articles

Back to top button