Parlimen

Program Rakan Muda jadi platform isi masa berkualiti, penyatuan perpaduan belia – Adam

Agenda pengukuhan perpaduan di kalangan belia menjadi sebahagian komitmen yang diterjemah oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memberikan nafas baru kepada program Rakan Muda.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, semua aktiviti dalam program itu mengutamakan diversiti dan penerapan nilai-nilai murni dalam memastikan golongan belia terus tumbuh sebagai kelompok yang membanggakan Malaysia.

“Berkaitan hal ini, di bawah bendera Rakan Demokrasi, kementerian melaksanakan program Sekolah Rukun Negara yang memberikan pengetahuan mengenai falsafah kenegaraan dan demokrasi berpandukan kepada teras perlembagaan persekutuan dan juga rukun negara.

“Sehingga November 2023, sebanyak 268 siri sekolah rukun negara telah diadakan di seluruh negara melibatkan penyertaan seramai 106,152 orang belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin di Dewan Rakyat, hari ini.

Ujarnya lagi, menerusi peruntukan lebih besar yang disediakan untuk program itu pada tahun hadapan, kementerian sedang merancang untuk melaksanakan aktiviti lebih baik dan menyeluruh termasuk memperkasakan pelaksanaan program di peringkat sekolah, institusi pendidikan tinggi dan peringkat akar umbi.

Tambahnya, untuk memastikan program rakan muda mendapat lebih perhatian, pihaknya akan memperkasakan hebahan melalui beberapa rakan strategik bermula tahun hadapan.

Menurut Adam, setakat November, sebanyak 3,947 aktiviti telah dilaksanakan merentas 10 gaya hidup baharu yang diperkenalkan di mana Rakan Aktif, Rakan Demokrasi dan Rakan Mahir paling mendapat sambutan.

Ia melibatkan penyertaan seramai 1,078,674 orang belia seluruh negara dan sekaligus melepasi sasaran sejuta penyertaan belia untuk tahun ini.

“Kementerian ini akan terus menjadikan Rakan Muda sebagai program utama dalam memperkasakan pembangunan belia di samping menyemai gaya hidup positif di kalangan anak muda di Malaysia.

“Program ini turut dilaksanakan melibatkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan pihak korporat dan melibatkan perkongsian peruntukan penggunaan kemudahan fizikal dan pengukuhan kepakaran,” katanya.

Program Rakan Muda dilancarkan semula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 25 Jun lalu.

Sepuluh gaya hidup baharu diperkenalkan melibatkan Rakan Demokrasi, Rakan Litar, Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button