Semasa

Siasatan segera dilakukan kenal pasti banjir puing di Bukit Tinggi – Nik Nazmi

Siasatan segera akan dilaksanakan untuk mengenal pasti punca banjir puing di Bukit Tinggi, Bentong malam tadi susulan dakwaan mengatakan kejadian berlaku disebabkan kegiatan penerokaan haram di sekitar kawasan hutan simpan, di situ.

Perkara itu dinyatakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Mengulas mengenai kejadian itu, Nik Nazmi memaklumkan tindakan segera bagi segera membaik pulih infrastruktur juga sedang dijalankan selain kerja-kerja pembersihan sisa batuan besar dan enapan di kawasan terjejas.

“Langkah mitigasi jangka panjang turut dicadangkan bagi menangani masalah berulang termasuk pelaksanaan kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Daerah Bentong yang meliputi kawasan bencana itu,” tambahnya.

Banjir kilat dengan arus air deras melanda sekitar kawasan Bukit Tinggi ekoran hujan sangat lebat dan berterusan beberapa jam pada malam Sabtu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam itu dirakam dan dikongsi netizen di media sosial.

Berdasarkan rakaman video yang tular, aliran air deras dari kawasan tinggi melimpah membanjiri jalan raya menyebabkan beberapa kenderaan yang diparkir tidak sempat dialihkan

BACA LAGI: NRECC agih RM100 juta untuk kerja kecemasan luar jangka ketika monsun

Susulan kejadian itu, satu mesyuarat tergempar diadakan pada pagi Ahad antara Nik Nazmi, wakil beberapa agensi kerajaan berkaitan dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

Mereka kemudian turut meninjau lokasi terjejas bagi melihat opsyen-opsyen yang boleh dilaksana bagi mengelak kejadian serupa.

“Saya akan mendapatkan laporan terperinci sebelum melihat opsyen-opsyen penyelesaian terbaik. Tapak-tapak air terjun sudah ditutup daripada dikunjungi orang ramai. Saya berharap orang ramai juga mengelak dari tapak-tapak perkhemahan di cerun dan tepi sungai ketika musim hujan ini demi keselamatan semua,” kata Nik Nazmi melalui satu catatan di Facebook sebagai mengulas tinjaun yang diadakan.

Related Articles

Back to top button