Sukan

Hannah jamin kualiti padang rumput aksi akhir Piala Malaysia 2023 berkualiti

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memberi jaminan bahawa padang rumput bagi aksi perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada 8 Disember depan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC adalah berkualiti.

Berbaki 12 hari, Hannah tidak bimbang walaupun sekeping gambar yang viral baru-baru ini yang kononnya mencerminkan keadaan rumput yang rosak selepas penganjuran konsert Coldplay Rabu lalu.

“Proses akan melibatkan kontraktor, dari awal hingga akhir proses. Mereka ada rawatannya yang disediakan untuk Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Jangan risau, untuk perlawanan akhir Piala Malaysia nanti, ia akan sempurna,” katanya di Nadi Arena semalam.

Hannah turut menegaskan tiada istilah peruntukan baru untuk PSM bagi mengatasi keadaan semasa padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tegas Hannah, setiap rumput yang rosak bakal ditukar segera dan proses ini giat dijalankan pada ketika ini.

“Proses penukaran rumput ini termasuk dalam bajet dan rumput Zeon Zoysia ini ditanam di tapak semaian yang berdekatan dengan Bukit Jalil.

“Sebarang penukaran rumput akan diambil dari tapak semaian seperti ketika perlawanan lawan India dan (Republik) Krygyzstan.

“Begitu juga dengan (kaedah) penganjuran konsert,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi berkata susulan kerosakan yang berlaku selepas konsert Coldplay, pihaknya akan melakukan kerja-kerja membaik pulih pada kadar segera seperti yang dilakukan ketika final Pestabola Merdeka 2023 sebelum ini.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button