Sukan

Kerajaan jaga kebajikan atlet paralimpik melalui pelbagai insentif

Kerajaan memperuntukkan RM1.945 juta sebagai sokongan bulanan untuk atlet paralimpik di peringkat kebangsaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim memaklumkan, peruntukkan itu membabitkan anggaran perkapita berjumlah RM35,000 merangkumi perbelanjaan kejohanan, elaun, kemudahan penginapan, makanan dan minuman atlet terbabit.

Selain itu jelasnya, kementerian melalui Majlis Sukan Negara mengambil langkah kerjasama strategik dengan pihak swasta untuk mendapatkan tajaan dan sumbangan.

Dan sehingga November tahun ini, usaha itu berjaya menjana dana RM13 juta dalam bentuk tunai dan barangan.

Adam Adli pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin turut memaklumkan kerajaan turut memberikan insentif skim hadiah kemenangan sukan secara sama rata kepada atlet termasuk atlet paralimpik, di mana pemenang pingat di Sukan Paralimpik menerima insentif berjumlah RM1 juta bagi pingat emas, RM300,000 bagi pingat perak dan RM100,00 bagi gangsa.

“Pemenang pingat di Temasya Paralimpik turut menerima elaun bulanan sepanjang hayat secara sama rata menerusi skim imbuhan tetap Olimpik sebanyak RM5,000 bagi pingat emas, RM3,000 (Perak) dan RM2,000 (gangsa).

“Sehingga kini, seramai 13 atlet paralimpik menerima insentif berkenaan sepanjang penyertaan kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik,” katanya.

BACA LAGI: MSN teliti pelaksanaan caruman KWSP, Perkeso untuk lindungi kebajikan atlet

Menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) sama ada kementerian akan menimbangkan kemungkinan membabitkan semula jurulatih yang sudah bersara, Adam Adli berkata, perkara itu sudah ada yang dilaksanakan.

“Pihak kementerian sentiasa menghargai sumbangan dan pengorbanan jurulatih yang banyak berjasa melatih atlet negara sehingga ke peringkat tertinggi.

“Bagi program seperti seminar dan bengkel tertentu, mereka dipanggil sebagai pakar rujuk untuk memberikan pandangan dan pendapat dalam pelaksanaan sesuatu program.

“Bagaimanapun, bagi memegang jawatan tertentu dalam organisasi sukan, kita sentiasa memberi galakan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan untuk memanfaatkan pengalaman mereka,” katanya.

Related Articles

Back to top button