Global

Masih terlalu awal untuk buat keputusan terlibat Projek Landbridge Thailand – PM Anwar

Cadangan Thailand untuk membangunkan projek jambatan darat yang memintas Selat Melaka akan turut memberi manfaat kepada Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin semasa pertemuan pada Isnin berkata, negara ‘Gajah Putih’ itu telah memberi komitmen bahawa Malaysia akan turut dilibatkan dalam pelaksanaan projek itu.

Bagaimanapun jelasnya, masih terlalu awal untuk Malaysia membuat keputusan untuk menyertai projek itu atau mendapatkan ekuiti dalam rancangan pembinaan projek berkenaan.

“Berkenaan land bridge itu, masih di peringkat awal tetapi saya dalam perbincangan itu, memang (dimaklumkan) akan dilibatkan Malaysia, dan sudah tentu akan memberi manfaat kepada Malaysia terutamanya sebelah utara Semenanjung.

“Jadi bagi kita, akan ada faedah dan kita akan manfaatkan kemudahannya di situ. Cuma cara terperincinya samada kita menyertai atau tidak aktiviti itu masih terlalu awal untuk kita bincangkan.

“Begitupun, berdasarkan semangat perbincangan itu, Perdana Menteri Thailand kata, mereka akan pastikan Malaysia dapat manfaat,” kata pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand semalam.

BACA LAGI: PM Thai ucap penghargaan kepada Anwar bantu rundingan bebas tahanan di Gaza

Untuk rekod, Projek Landbridge atau jambatan darat berkenaan dianggarkan menelan kos kira-kira 1 trilion baht (AS$28 bilion) bagi mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Pasifik dan Hindi

Ia membabitkan pembinaan pelabuhan laut di kedua-dua bahagian semenanjung selatan Thailand, dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya dan kereta api yang komprehensif.

Laluan sepanjang 100 kilometer itu akan berfungsi sebagai alternatif kepada cadangan untuk membina terusan melalui Segenting Kra.

Dalam perkembangan berasingan, perdana menteri turut memaklumkan telah menyatakan hasrat kepada kerajaan Thailand untuk meneruskan rancangan pembinaan jambatan baharu Rantau Panjang menyeberang Sungai Golok yang belum dapat dilaksanakan sehingga kini.

Menurutnya, Malaysia sudah bersedia untuk meneruskan pembinaannya dan hanya menunggu jawapan daripada kerajaan Thailand.

“Jika mereka bersetuju. ia akan dilaksanakan selewatnya tahun depan, yang mana ia kini hanya menunggu untuk urusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dan berikutnya akan disegerakan pembinaan Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button