PM Thai ucap penghargaan kepada Anwar bantu rundingan bebas tahanan di Gaza
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan telah memainkan peranan penting dalam usaha pembebasan 17 warga Thailand yang dijadikan tebusan oleh pejuang Hamas.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengesahkan, peranan Anwar dalam usaha itu hasil susulan daripada permintaan kerajaan Thailand sendiri ekoran kejayaan pembebasan warga Malaysia dari Gaza awal bulan ini
“Ramai mungkin tidak tahu bahawa Perdana Menteri kita pun ada memainkan peranan penting di belakang tabir.
“Proses ini amat sukar dan dilakukan penuh berhati-hati kerana ia dibuat bukan dalam fasa gencatan senjata dengan suasana di wilayah itu masih lagi dalam perang,” katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.
Zambry namun menegaskan bahawa peranan aktif Malaysia di peringkat sejagat selama ini sebenarnya banyak membantu misi itu termasuk hasil kerjasama erat dengan kerajaan Mesir.
BACA LAGI: Serangan kemudahan kesihatan bukti rejim Israel ingin hapus rakyat Palestin
Sabtu lalu, Kementerian Thailand mengucapkan terima kasih kepada Qatar, Mesir, Iran dan Malaysia atas usaha mereka membebaskan tebusan yang ditahan.
Malah Perdana Menteri Thailand, Settha Thavisin ketika bertemu Anwar di sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam pada Isnin turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas kejayaan itu.
Terdahulu, Bangkok Post melaporkan tiga rakyat Thailand yang menjadi tawanan Hamas di Gaza, berjaya dibebaskan hasil bantuan Malaysia, baru-baru ini, menjadikan keseluruhan tawanan warga Thailand yang diselamatkan mencecah 17 orang.