Nasional

Polis tangkap individu tawar RM5 juta tembak mati PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah melakukan tangkapan ke atas individu yang menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang dapat menembak mati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui platform media sosial.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, pemilik atau pengendali akaun Tik Tok @jaiadani89 yang berumur 34 tahun itu direman selama tiga hari bermula hari ini.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

“Kes masih di peringkat siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan, polis turut menahan individu berusia 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Razarudin berkata, pengendali atau pemilik akaun Facebook ‘Cik Mat Cik Po’ itu ditahan pada 26 November di Kota Bharu, Kelantan.

“Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibenarkan selama empat hari bermula 27 hingga 30 November ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian serta penghinaan terhadap mana-mana Raja dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” katanya.

Sehubungan itu, polis turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara melalui media sosial.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button