Politik

Abang Johari, GPS main peranan penting wujudkan kestabilan politik negara – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan penghargaan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan diberikan kepadanya.

Bercakap pada majlis makan malam gala Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) di sini malam ini, Anwar berkata, sokongan itu telah memberikan kestabilan politik sekaligus membolehkan beliau mengemudi Malaysia ke arah memperkasa ekonomi dan melakar kemajuan masa depan negara.

“Saya hanya ingin menyatakan yang saya tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa Premier Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari dan GPS telah memainkan peranan penting dalam hal ini,” katanya.

Anwar berkata, bulan-bulan pertama pembentukan Kerajaan Perpaduan telah menyaksikan mereka terpaksa berdepan beberapa “pergolakan kecil” namun beliau bersyukur kerana kerajaan itu menjadi lebih stabil selepas setahun.

“Kita (kini) boleh bercakap mengenai peralihan tenaga, transformasi digital dan kerancakan ekonomi kerana kita sudah stabil dari segi politik… kita memiliki majoriti lebih dua pertiga di Parlimen,” katanya.

BACA LAGI: Kedudukan Kerajaan Perpaduan, PM Anwar semakin kukuh dan stabil ketika ini

Anwar telah merasmikan GMBF yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.

Selain Anwar dan Abang Johari, majlis tersebut turut dihadiri Naib Presiden Republik Indonesia Profesor Dr Ma’aruf Amin, yang mewakili Presiden Joko Widodo.

Kira-kira 1,000 peserta, termasuk pemimpin global terkemuka dari 37 negara dijangka menghadiri Forum tersebut.

Dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Islamic Chamber of Commerce, Industry and Agriculture and Global One, forum ini bertujuan menjadi hab pengetahuan bagi kerajaan, syarikat dan masyarakat sivil untuk meneroka amalan terbaik dan inovatif dalam pelbagai domain seperti kewangan Islam, teknologi hijau dan pertanian.

Bertemakan ‘Inovasi dan Transformasi dalam Ekonomi Islam’, forum itu akan menampilkan ucaptama oleh pemimpin Dunia Islam, sesi pleno, bengkel dan majlis anugerah serta majlis makan malam gala.

Related Articles

Back to top button