Semasa

KPM lancar Dasar Pendidikan Digital, lahirkan generasi berdaya saing

Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan Dasar Pendidikan Digital (DPD) sebagai usaha kerajaan melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing membabitkan pendidik dan murid.

Dilancarkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Bangi Avenue pada Selasa, ia menggariskan empat objektif mencakupi usaha KPM untuk membangunkan murid fasih digital.

Usaha itu sebagai memenuhi keperluan era digital serta mengupayakan pendidikan dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan.

KPM turut mengunjurkan dasar itu dapat memperkukuh infrastruktur, infostruktur dan kandungan pendidikan digital selain berupaya mengoptimumkan penglibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital.

Dalam ucapannya, Fadhlina berkata pihaknya yakin menerusi teras strategik berkenaan, murid berupaya mengguna pakai teknologi digital untuk pembelajaran serta memanfaatkan inovasi dan transformasi digital di sekolah, rumah atau di mana sahaja.

“Namun begitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari masih terdapat jurang digital antara murid di kawasan bandar dan luar bandar.

“Bagi mengurangkan jurang akses sumber pembelajaran murid terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, KPM memperkasakan sebanyak 367 Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan 16 Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh negara sebagai pusat kecemerlangan (COE) bagi inisiatif pendidikan digital.

“Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan di COE ialah penghasilan video PdP, aktiviti robotik, pengaturcaraan dan realiti maya (virtual reality – VR).

“Semua pusat itu dibekalkan dengan peralatan dan perkakasan studio digital dan hab penghasilan digital (digital maker hub -DMH) yang boleh digunakan oleh murid dan guru bagi meningkatkan kompetensi digital, membangunkan kandungan dan melaksanakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP),” kata Fadhlina.

BACA LAGI: KPM komited atasi isu kekurangan guru – Fadhlina

Dalam pada itu, beliau berkata KPM juga sedang menambah baik kemudahan kelas hibrid di 110 buah institusi pendidikan terpilih yang melibatkan 550 buah bilik darjah.

Dengan pelaksanaan rintis kelas hibrid ini, ia jelasnya akan mengupayakan PdP secara digital dan bersemuka dalam satu ekosistem yang sama.

“Kesemua inisiatif ini dapat menambah baik ekosistem pendidikan digital secara berterusan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button