Semasa

KPM sokong modul penilaian baharu untuk murid tahun enam di Sarawak – Fadhlina

Kementerian Pendidikan (KPM) menyokong modul penilaian baharu yang diasaskan oleh negeri Sarawak bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), jelas menterinya Fadhlina Sidek.

Bercakap pada sidang media Majlis Peluncuran Dasar Pendidikan Digital di Bangi pada Selasa, Fadhlina berkata modul penaksiran kepada pelajar negeri tersebut yang berada di tahun enam disambut baik oleh kementeriannya kerana selaras dengan matlamat KPM dengan hala tuju untuk sentiasa memastikan pentaksiran pendidikan negara diperkukuhkan selalu.

“Jadi, kalau Sarawak (modul pentaksiran) masih lagi dalam dasar pentaksiran ini, saya rasa modul itu tidak akan pergi jauh dan kita sedia membantu untuk memperkukuhkan pentaksiran di Sarawak,” katanya.

BACA LAGI: KPM lancar Dasar Pendidikan Digital, lahirkan generasi berdaya saing

Beliau berkata begitu sebagai mengulas pemakluman Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn bahawa negeri itu akan melaksanakan peperiksaan khas untuk murid darjah enam yang dikenali sebagai Penilaian Sekolah Rendah Modul Sarawak bermula pada tahun 2025.

Penilaian itu jelasnya bagi menilai pencapaian sebenar pelajar sebelum melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.

Menurut Roland Sagah, modul penilaian itu akan memberi tumpuan terhadap penilaian mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Kerajaan negeri jelasnya berusaha untuk merealisasikan pelan tersebut kerana ia dipercayai akan membantu pelajar-pelajar.

Malah pihaknya juga bersedia menerima sebarang input daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung cadangan penggubalan sistem penilaian tersebut.

Related Articles

Back to top button