Parlimen

Lafaz Rukun Negara oleh Ahli Parlimen pada setiap penggal Parlimen – Speaker

Lafaz Rukun Negara akan dilaksanakan pada setiap sesi pembukaan penggal Dewan Rakyat pada hari kedua mesyuarat pertama setiap penggal Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ia selepas beliau menerima permohonan daripada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang mencadangkan agar Rukun Negara dilafazkan secara penuh bermula dengan mukadimah, diikuti lima prinsipnya.

“Saya membawa cadangan ini ke Jawatankuasa Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia dan juga Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat untuk dipertimbangkan.

“Kedua-dua jawatankuasa ini bersetuju untuk melaksanakan lafaz Rukun Negara di Dewan Rakyat.

“Oleh itu, saya masyhurkan agar lafaz Rukun Negara dilaksanakan setiap sesi pembukaan penggal Dewan Rakyat iaitu pada hari kedua mesyuarat pertama setiap penggal Parlimen,” katanya sebelum sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, sehingga kini, seramai 213 orang Ahli Dewan Rakyat dan enam senator ahli pentadbiran telah melakukan pemeriksaan kesihatan mereka.

Bagaimanapun katanya, lapan orang Ahli Dewan Rakyat masih belum menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Kepada Yang Berhormat yang masih belum menjalani pemeriksaan kesihatan ini, sila buat kadar segera dan hubungi klinik Parlimen.

“Saya akan paparkan kesemua mereka yang belum lagi menjalani kesihatan ini pada 1 Disember tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan agar lafaz ikrar Rukun Negara dilaksanakan di setiap program rasmi kerajaan.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata, cadangan asalnya dikemuka kementeriannya itu sebagai antara usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button