Malaysia harus jadi contoh kepada dunia yang inklusif – PM Anwar
Malaysia perlu mengetuai dan menjadi contoh kepada dunia yang lebih inklusif bahawa keharmonian perlu ada dan berkembang di tengah-tengah kepelbagaian kaum, agama, kebangsaan dan jantina, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, warisan negara yang pelbagai menawarkan perspektif unik dan peluang untuk menjadi barisan hadapan dalam membentuk era baharu Pemerintahan Etika Global.
“Sementara kita merenungkan pelbagai cabaran di hadapan kita, menjadi jelas bahawa semuanya berpusat pada isu yang paling asas iaitu etika.
“Dengan merangkul hikmah Islam dan Konfusianisme, kita boleh bekerja ke arah masa depan yang tidak hanya maju secara teknologi tetapi juga berwawasan moral,” katanya ketika menghadiri Dialog Kepimpinan Islam – Konfusianisme di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, dalam ajaran Islam ada dianjurkan mengenai Taaruf iaitu pemahaman dan penilaian yang lebih positif terhadap sesuatu kekuatan yang baginya dapat memperkukuhkan perpaduan dan memupuk semangat baharu.
Tambah Anwar, ia berbeza dengan perkembangan sekarang yang disebut sebagai politik identiti, yang hanya melihat kepada satu kaum atau agama, yang kemudiannya turut menyerang dan menimbulkan ketegangan juga permusuhan.
Perdana Menteri berkata, Konfusianisme dan Islam berkongsi penekanan yang sama pada idea pemerkasaan moral serta cara untuk merealisasikannya dan idea itu penting untuk kepimpinan dalam kedua-dua tradisi.
Dalam fahaman Konfusianisme, beliau berkata cara itu dirujuk sebagai ‘penyemaian dalaman’ yang hampir tidak berbeza dengan ‘tazkiatun nafs’ (penyucian jiwa) al-Quran.
“Ketika kita bergelut dengan isu-isu seperti perubahan iklim, ketidaksamaan, keselamatan siber dan implikasi etika kecerdasan buatan, kita mendapati bahawa cabaran ini amat beretika.
“Menyelesaikannya memerlukan penilaian semula nilai kita dan prinsip yang membimbing tindakan kita,” kata beliau.
Baca lagi: