Umum

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani tawar pelbagai aktiviti menarik kepada orang ramai

Pelbagai pengisian menarik menanti pengunjung bersempena dengan program Setahun Bersama Kerajaan Madani bermula 8 Disember ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) selaku urus setia bersama akan menganjurkan program ini yang dijadualkan selama tiga hari (8-10 Disember 2023) bertempat di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Objektif penganjuran program ini adalah untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat, meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan, serta membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

Program ini turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta para pemegang taruh.

Penganjuran program ini memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani, perkhidmatan ‘touchpoint’ rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

Antara tarikan sepanjang tiga hari program ialah penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus kementerian-kementerian bersama rakyat, Jualan Mega Madani dan lain-lain lagi.

Rakyat juga berpeluang untuk melihat pencapaian kerajaan melalui pameran pencapaian semua kementerian berserta perancangan jangka masa panjang kerajaan.

Majlis perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Disember 2023 dan akan turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan.

Orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pada 8 hingga 10 Disember 2023 bermula 9.00 pagi hingga 10.00 malam.

Maklumat lanjut sila layari: www.malaysiamadani.gov.my

Baca juga:

Related Articles

Back to top button