Semasa

Projek jalan baharu CIQ Sadao ke ICQS Bukit Kayu Hitam direalisasikan segera

Jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke ICQS Sadao, Thailand dijangka direalisasikan dalam masa terdekat.

Kerajaan Malaysia dan Thailand secara dasarnya telah bersetuju berhubung jajaran reka bentuk dan isu teknikal projek yang bakal meningkatkan tahap kesalinghubungan antara kedua-dua negara, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Perkara itu jelasnya dicapai hasil lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sempadan kedua-dua negara atas jemputan rakan sejawat beliau di Thailand, Srettha Thavisin pada Isnin.

“Jaringan jalan penghubung ini terdiri daripada satu jalan utama enam lorong dua hala (K3-3) sepanjang 900 meter dengan piawaian U5, dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter.

“Projek jalan ini juga melibatkan pengambilan tanah, perobohan dan pembinaan baharu blok asrama Kem Rejimen Sempadan (5RS) serta beberapa struktur keselamatan lain seperti pos kawalan akhir dan pagar keselamatan yang terkesan daripada jajaran jalan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: Masih terlalu awal untuk buat keputusan terlibat Projek Landbridge Thailand

Perdana menteri pada lawatan ke Sadao memberitahu, projek berkenaan penting untuk menjadikan kawasan di utara semenanjung Malaysia dan selatan Thailand itu sebagai kawasan pertumbuhan, pembangunan dan kegiatan ekonomi yang memanfaatkan kedua-dua negara.

Malaysia dan Thailand juga jelasnya bersetuju untuk memuktamadkan sebarang rundingan mengenai isu berbangkit melibatkan sempadan kedua-dua negara dalam tempoh dua minggu.

Sementara itu Kementerian Kerja Raya yakin dengan terbinanya jajaran baharu itu, keselesaan dan keselamatan pengguna dapat ditingkatkan selaras dengan aspirasi Kempen MyJalan.

Related Articles

Back to top button