Negeri

Selangor giat usaha melestari alam sekitar

Pentadbiran negeri Selangor mempergiat usaha melestari alam sekitar di negeri itu dengan mengekalkan minimum 30 peratus tanah di Selangor sebagai kawasan hutan.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, inisiatif itu selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1) antaranya melibatkan penanaman 11 juta pokok dan program kesedaran awam berkaitan pemuliharaan hutan.

“Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) dalam perbincangan menitahkan untuk kita lebih banyak menerangkan dalam pelbagai medium. Ada medium gambar, video, buku di sekolah.

“Usaha itu saya rasa akan dirangka kembali antara Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri. Ini penting supaya kesedaran masyarakat untuk memelihara hutan adalah tinggi,” katanya dipetik Selangorkini.

Naib Presiden KEADILAN itu berkata begitu ketika ditemui di majlis pengisytiharan Hutan Warisan Diraja Selangor yang disempurnakan Sultan Sharafuddin di Shah Alam pada Selasa.

Terdahulu, Amirudin dalam sembah ucapannya berkata pentadbiran negeri menyokong agenda di peringkat kebangsaan dan antarabangsa berkait pemeliharaan biodiversiti serta perubahan iklim.

BACA LAGI: Selangor bentang Kajian Separuh Penggal RS-1 tahun depan

Agenda berkenaan jelasnya, dengan mengamalkan dasar moratorium ke atas pembalakan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) selama 25 tahun sejak 2010 dan menerima pakai Dasar Perhutanan Malaysia pada 2021.

Selain penerimaan dasar pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perhutanan Negara pada 2022 dan Dasar Kepebagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 yang dilancar 24 Oktober lalu.

“Ia termasuk memelihara Kawasan Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) melibatkan dua koridor Secondary Linkage iaitu Raja Musa-Bukit Tarek-Gading dan Sungai Lalang-Hulu Langat.

“Pada masa sama meningkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan melalui rondaan berkala, operasi bersepadu dan penggunaan teknologi satelit yang menjadi elemen penting membanteras kemusnahan habitat ekologi hutan,” katanya menurut laporan itu.

Related Articles

Back to top button