Politik

Sokong PM Anwar kerana PN tak mahu runding peruntukan – Ahli Parlimen Bukit Gantang

Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menegaskan beliau tidak diugut atau diberi tekanan bagi menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dipetik laporan media, Ahli Parlimen dua penggal itu menegaskan sokongan itu diberikan kerana merasa kecewa dengan keputusan Perikatan Nasional (PN) tidak berunding untuk mendapat peruntukan wakil rakyat pembangkang seperti yang disarankan perdana menteri.

“Bab peruntukan PM (Anwar) kata boleh runding, tapi pihak pembangkang tak mahu runding. Jadi saya secara ‘gentlemen’ memulakan secara terbuka supaya mereka (PN) sedar kena berunding,” katanya.

Pada 3 Nov lalu, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan mengesahkan gabungan itu tidak meneruskan rundingan dengan wakil kerajaan mengenai peruntukan sama rata Ahli Parlimen pembangkang kerana mendakwa diminta menyatakan jaminan tertentu.

BACA LAGI: Lebih ramai akan sokong PM Anwar jika Ketua Pembangkang tak mahu bincang peruntukan

Terdahulu Syed Abu Hussin ketika mengumumkan sokongan secara terbuka kepada Anwar di Dewan Rakyat. Beliau turut menyeru bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri Yaakob bersama membantu Anwar dalam mentadbir kerajaan.

“Saya nak semua dengar (wakil kerajaan dan pembangkang). Dalam itu (di Dewan Rakyat) saya seru semua Ahli Parlimen untuk sama-sama bangunkan negara. Masa PRU kita gaduhlah.” tegasnya.

Sementara itu Syed Abu Hussin juga menafikan sokongannya berkaitan permohonan mendapat peruntukan RM30 juta untuk Bukit Gantang disuarakan di Parlimen pada 9 Nov lalu.

Sebagai rekod, beliau adalah Ahli Parlimen kelima dari parti Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap Anwar dengan kesemua mereka menyatakan keputusan itu demi kepentingan rakyat terutama pengundi di kawasan di wakili mereka.

Related Articles

Back to top button