Nasional

Tingkat kawalan, pemantauan kanak-kanak daripada bahaya alam siber – Dr Wan Azizah

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan ibu bapa supaya meningkatkan kawalan dan pemantauan terhadap anak masing-masing bagi melindungi mereka daripada pelbagai bahaya yang tersembunyi dalam alam siber.

Dr Wan Azizah berkata, pada zaman siber kini, kanak-kanak akan sentiasa terdedah kepada bahaya alam siber walaupun mereka tidak keluar dari rumah atau keluar malam.

“..jaga kanak-kanak terutama di alam maya kerana mereka adalah golongan rentan. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab dan usaha (melindungi kanak-kanak di alam maya) perlu diberi penekanan dan ditingkatkan.

“Kini komunikasi (bersemuka) kurang. Semuanya di alam maya. Kalau kanak-kanak diam sahaja, bahaya. Kanak-kanak tidak tahu (membezakan) sesuatu yang ‘tidak boleh’. Terdapat antun seksual kanak-kanak ‘child grooming’ dan laman web gelap,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada majlis Townhall Working Together To Enhance Child Protection di HELP University, semalam.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyaksikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menerima memorandum yang ditandatangani 45 pertubuhan sivil termasuk Yayasan Chow Kit bagi menuntut peningkatan perlindungan kanak-kanak di alam siber.

Sementara itu Nancy dalam ucapannya berkata pihaknya akan memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, komuniti dan keluarga dalam mengenal pasti, melaporkan dan menangani kes-kes penyalahgunaan atau penganiayaan kanak-kanak.

Katanya, pendekatan dan tindakan yang perlu diambil untuk menangani masalah penderaan dan pengabaian kanak-kanak mesti seiring dengan keperluan semasa.

Sementara itu menurut kenyataan Yayasan Chow Kit yang diedarkan pada majlis itu matlamat dialog awam yang diadakan hari ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai isu mendesak penderaaan kanak-kanak dalam talian dengan menggalakkan perbincangan awam.

Menurut yayasan itu, program adalah usaha sama pempengaruh media sosial, pendidik, institusi pendidikan dan syarikat komunikasi yang mampu mempengaruhi perubahan perilaku dalam dunia yang semakin saling berhubung secara digital, demikian menurut kenyataan itu.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button