Politik

Tun M gagal nasihati pembangkang supaya runding peruntukan – Fahmi

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil tampil menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bahawa terdapat unsur rasuah dalam perubahan mendadak sokongan oleh lima Ahli Parlimen Bersatu.

Dalam satu sidang media pada Selasa, Fahmi menegaskan keputusan beberapa Ahli Parlimen Bersatu termasuk Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN – Bukit Gantang) memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah atas kehendaknya sendiri.

Tambah Fahmi, Dr Mahathir sebagai penasihat pembangkang sepatutnya menasihati pihak pembangkang untuk berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung peruntukan dana kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Saya rasa beliau tidak memberikan nasihat yang baik kepada mereka … saya mohon Tun (Mahathir) untuk menasihati mereka (Ahli Parlimen pembangkang) datang ke meja rundingan… capai kata putus supaya kita selesaikan isu ini dan hidup aman damai,” tegasnya.

BACA LAGI: PM Anwar nafi letak syarat ketat beri peruntukan kepada wakil rakyat

Syed Abu Hussin mengemparkan Dewan Rakyat semalam apabila secara terbuka memberikan sokongan kepada Anwar dan Kerajaan MADANI.

Pengisyhtiharan itu dibuat pada sesi waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjadi Ahli Parlimen kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Tindakan kesemua Ahli Parlimen itu dilihat tamparan hebat kepada kepimpinan Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Related Articles

Back to top button