ekonomi

Kerajaan raih pelaburan hampir RM350 bilion, berjaya turunkan tekanan inflasi – PM Anwar

Malaysia telah meraih komitmen pelaburan dengan nilai RM347 bilion sepanjang lawatan rasmi serta misi perdagangan dan pelaburan diadakan di luar negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di persidangan Dewan Negara pada Rabu berkata pelaburan tersebut diraih di China, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

“Komitmen pelaburan ini agak tinggi dan amat memberangsangkan sama ada hasil lawatan dan hasil usaha agensi-agensi kerajaan termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya.

Sementara itu menurut Anwar, kerajaan telah meluluskan pelaburan bernilai RM132.6 bilion iaitu melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini bagi separuh pertama 2023.

“Yang utama ialah jaminan berkembangnya Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK) suku ketiga dengan mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku kedua 2023.

“Ekonomi kita berkembang 3.9 peratus bagi sembilan bulan 2023, selari dengan unjuran KDNK 2023 sekitar empat peratus,” jelasnya.

BACA LAGI: Kerajaan Perpaduan tumpu isu ekonomi, tingkat pendapatan rakyat

Pada sesi itu juga Anwar menjelaskan, kerajaan yang diketuainya turut berjaya meredakan tekanan inflasi.

Jelasnya, ketika awal pentadbirannya negara menanggung inflasi pada kadar empat peratus, namun setakat Oktober 2023 kadar inflasi menurun kepada hanya 1.8 peratus sekaligus terendah di rantau ini dan lebih baik berbanding kebanyakan negara maju.

Selain meredakan tekanan inflasi, kerajaan juga berjaya menurunkan kadar pengangguran kepada 3.4 peratus setakat September 2023, iaitu terendah hampir menyamai kadar sebelum COVID-19 iaitu 3.3 peratus.

“Walaupun baru setahun, kita laksanakan dasar serta pendekatan yang jelas dan tegas yang tidak dilaksanakan sebelum ini malah ada langkah Belanjawan MADANI Kedua yang telahpun dilaksanakan,” katanya.

Related Articles

Back to top button