Semasa

KKR cadangan wajibkan bina lorong khas motosikal di setiap lebuh raya baharu

Kerajaan bercadang untuk mewajibkan setiap pembinaan lebuh raya baharu di masa hadapan menyediakan lorong khas laluan motosikal.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexender Nanta Linggi berkata, cadangan itu yang bertujuan menjamin keselamatan penunggang motosikal merupakan antara yang diselitkan dalam Rancangan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya (HNDP).

“Di masa hadapan apabila dirancangkan pembinaan lebuh raya baharu, kita mungkin boleh letakkan syarat untuk wajib (bina) lorong motosikal. (Walaupun) ia akan beri implikasi terhadap kos, tetapi kita prihatin nyawa.

“Dalam HNDP, KKR mungkin akan buat dasar dan diangkat ke kabinet untuk mewajibkan lebuh raya yang bakal dibina mesti ada lorong motosikal.

“Selagi belum buat, sekarang kita lakukan yang terbaik dengan melebarkan jalan untuk beri laluan kepada mereka (penunggang motosikal),” katanya dipetik.

BACA LAGI: Kerajaan umum cara mohon rebat motosikal elektrik bernilai RM2,400 Disember ini

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Kapit pada Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam pada Rabu turut menjelaskan KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan memperbanyakkan tempat berteduh penunggang motosikal dibina di lebuh raya seluruh negara di bawah Inisiatif Bitara Malaysia Madani: Kementerian Kerja Raya.

“Kita tambah dan perbanyakkan lagi tempat berteduh untuk penunggang motosikal semasa musim hujan.

“Kementerian dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya dan saya difahamkan, kita menepati sasaran tahun ini,” ujarnya.

Difahamkan, sebanyak 119 tempat berteduh baharu untuk penunggang motosikal akan dibina di lebuh raya membabitkan 33 syarikat konsesi.

Jumlah itu merupakan tambahan daripada 353 tempat berteduh motosikal yang sudah tersedia sebelum ini.

Related Articles

Back to top button