Politik

PM Anwar diidolakan sebagai pemimpin muslim rantau ASEAN – Penganalisis komunikasi politik

Seorang penganalisis komunikasi politik memuji pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jelasnya telah memberi sumbangan positif dalam hubungan Indonesia-Malaysia.

Dr Hendri Satrio dari Universiti Paramadina, Jakarta Selatan berkata sumbangan itu terutama dalam memajukan kerjasama ekonomi bagi pertumbuhan kedua negara selain memastikan perlindungan pekerja Indonesia di Malaysia.

“Sumbangan juga terlihat di peringkat kerjasama serantau seperti di Sidang Kemuncak ASEAN 2023 yang dipengerusikan Indonesia,” katanya dipetik laporan media.

Mengulas lanjut Hendri turut berkata, Anwar sentiasa mendapat tempat di ‌minda dan hati rakyat Indonesia malah pelantikan sebagai perdana menteri mencetuskan optimis penambahbaikan demokrasi yang signifikan.

Sehingga hari ini jelasnya, hubungan Indonesia-Malaysia lebih daripada sekadar persahabatan dan mempengaruhi politik antara satu sama lain.

“Kita semua satu keluarga, bahasa hampir sama, muka pun serupa, jadi kalau kita bekerjasama di bidang ekonomi, politik atau keselamatan, sudah pasti nilainya lebih tinggi berbanding dengan negara lain.

“Alangkah baik Indonesia, Malaysia dan Singapura memiliki hubungan erat supaya, contohnya memanfaatkan Selat Melaka untuk mengukuhkan ekonomi negara masing-masing,” jelasnya.

Hendri sebelumnya diminta mengulas perubahan yang dibawa Anwar sepanjang tahun pertama Kerajaan Perpaduan memerintah.

BACA LAGI: Anwar Ibrahim pemimpin Islam ke-11 paling berpengaruh

Sementara itu, Hendri juga membayangkan potensi Anwar sebagai pemimpin Muslim di ASEAN,yang majoriti penduduknya Muslim untuk membawa rantau ini lebih jauh dan maju.

Beliau menekankan peranan transformatif pemimpin Muslim dan mendorong Anwar agar terus membentuk dan mempromosikan demokrasi yang ideal di rantau ini.

“Datuk Seri Anwar diidolakan sebagai seorang daripada pemimpin Islam yang diinginkan oleh banyak orang di Indonesia, berjuang melawan ‘penjajahan’ kemudian tetap sangat menghargai dan menunjukkan nilai-nilai Islam,” katanya yang turut menyuarakan harapan agar Anwar berusaha melahirkan lebih ramai tokoh-tokoh baharu yang berperanan sebagai pemimpin teladan.

Related Articles

Back to top button