Parlimen

RUU Kawalan Produk Rokok diluluskan Dewan Rakyat

Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

RUU itu diluluskan di peringkat dasar selepas ia mendapat sokongan majoriti ahli melalui undian suara setelah ia dibahas oleh 26 Ahli Parlimen, semalam.

Ia merupakan versi ketiga yang dibentangkan di Dewan Rakyat selepas berlaku beberapa pindaan sebelum ini, termasuk menggantikan klausa melarang orang yang lahir selepas tahun 2007 melakukan aktiviti merokok, dengan terma Orang Belum Dewasa (OBD).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sewaktu menggulung RUU berkenaan berkata, beliau memahami pandangan dan kegusaran berkenaan pengguguran klausa yang disebut Generational End Game (GEG).

“Penggguguran (klausa) ini merupakan satu keputusan secara kolektif, tanggungjawab bersama kerajaan, merujuk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC), ada isu ketidaksamarataan atau diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan GEG, yang beri layanan berbeza seorang lahir sebelum 1 Jan 2007, dan lahir selepas itu.

“Oleh itu AGC berpandangan peruntukan ini boleh dicabar di mahkamah, bercanggah perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun betul Ahli Parlimen yang gubal undang-undang, namun pendapat dan nasihat AGC harus diambil kira dalam penggubalan mana-mana undang-undang supaya tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada, terutamanya Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi hantaran di Facebook Dr Zaliha turut berterima kasih kepada semua Ahli Dewan Rakyat yang menyokong agar RUU ini terlaksana sekali gus menutup kelompangan undang-undang yang sedang berlaku.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk ucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada kumpulan dari Kementerian Kesihatan Malaysia yang sentiasa komited dan telah bekerja selama hampir 13 tahun dalam memastikan RUU yang bersejarah ini dapat diluluskan” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button