Semasa

Seorang lagi pekerja ladang jadi mangsa ‘pak belang’ di Gua Musang

Ancaman harimau di Gua Musang semakin serius apabila seorang lelaki warga Indonesia menjadi mangsa ketiga yang maut dibaham haiwan buas itu dalam tempoh tiga minggu.

Mangsa seorang pekerja ladang dikenali sebagai Syabaini, 36, ditemui di kawasan cerun berdekatan Kampung Kuala Tol pada jam 5.30 petang semalam dengan keadaan mayat telah kehilangan tangan kanan, cedera pada bahagian leher dan kedua-dua ibu jari kaki.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menjalankan satu gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan anggota polis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan penduduk setempat sebaik menerima laporan daripada ketua ladang memaklumkan kejadian pekerjanya yang dibaham binatang buas.

“Usaha dijalankan kira-kira sejam di tempat kejadian dan menemui mangsa sekitar 200 meter dari lokasi motosikalnya.

“Ketika ditemui, mangsa sudah meninggal dunia dalam keadaan jasad tidak sempurna di kawasan cerun di dalam hutan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang turun menyarankan masyarakat setempat di sekitar Gua Musang yang keluar bekerja supaya bergerak secara berkumpulan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

BACA LAGI: Kerajaan Kelantan disaran tubuh jawatankuasa tangani ancaman harimau

Akhbar sebelum ini melaporkan kejadian pekerja ladang warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, maut dibaham harimau di kawasan ladang kebun getah di Kuala Wok, Pos Pasik, Gua Musang pada 10 November lalu.

Selang sehari selepas itu, warga Myanmar, Ahka Soe Ya, 22, maut selepas diserang harimau belang ketika menoreh getah di Ladang Meranto pada 11 November lalu.

Sebelum itu, terdapat satu kes kecederaan dan dua kematian melibatkan masyarakat Orang Asli akibat diserang harimau belang pada 12 Mei dan 4 Oktober tahun ini.

Ketua Pembangkang DUN Kelantan baru-baru ini telah mengemukakan cadangan agar kerajaan negeri segera mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani masalah hidupan liar ketika ini.

Mohd Syahbuddin Hashim berkata, penubuhan jawatankuasa itu sangat penting kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan, keselamatan, ketenteraman dan keamanan rakyat negeri itu terutama di Jajahan Gua Musang.

Related Articles

Back to top button