ekonomi

Kerajaan peruntukkan RM30 juta, mulakan projek rintis Dasar Gaji Progresif mulai Jun depan

Kerajaan bakal melaksana projek rintis Dasar Gaji Progresif pada Jun tahun hadapan dengan melibatkan 1,000 syarikat swasta termasuk perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS)

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada pembentangan Kertas Putih mengenai cadangan dasar itu di Dewan Rakyat pada Khamis memberitahu, Kerajaan memperuntuk RM30 juta bagi pemberian insentif tunai pelaksanaan projek rintis mengikut kadar dan kumpulan pekerja pada peringkat permulaan dan bukan permulaan.

“Bagi kumpulan peringkat permulaan, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM200 sebulan selama 12 bulan sekiranya syarikat membayar gaji pada kadar yang sama atau melebihi cadangan panduan kenaikan gaji tahunan.

“Bagi kumpulan pekerja bukan peringkat permulaan, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM300 sebulan selama 12 bulan sekiranya syarikat memberi kadar kenaikan gaji tahunan berdasarkan panduan kenaikan gaji tahunan,” katanya sambil memaklumkan mekanisme pembayaran akan ditentukan sama ada dilakukan secara tuntutan suku tahunan atau separuh tahun.

Mengulas lanjut mengenai projek rintis itu, Rafizi menjelaskan untuk tempoh antara Januari hingga Mac tahun hadapan, ia ditetapkan bagi menyediakan panduan gaji untuk kelulusan kerajaan.

Manakala syarikat yang berminat menyertai projek rintis berkenaan boleh mula membuat permohonan pada April sehingga Jun 2024.

“Kita mulakan projek rintis melibatkan 1,000 syarikat terlebih dahulu kerana pada pandangan saya, langkah yang memerlukan kerjasama dan persetujuan tripartite tak boleh dibuat semata-mata dengan arahan dasar.

“(Tetapi) ia perlu diselaraskan dan saya percaya akan ada banyak perkara yang kita tak nampak masa merancang dasar ini.

“Sebab itu sebelum kita buka keseluruhan ekonomi dan majikan, kita perlu ambil masa terlebih dahulu dan laksana projek rintis kepada 1,000 syarikat supaya kita boleh perbaiki sebarang kelompangan dan kelemahan,” katanya.

Sementara itu jelas Ahli Parlimen Pandan itu, satu laporan akan dibawa ke Kabinet selepas enam bulan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif iaitu dari Jun hingga Disember, bagi mengemas kini sebelum ia dapat dijalankan secara keseluruhan.

Related Articles

Back to top button