Parlimen

Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif diluluskan di Dewan Rakyat

Dewan Rakyat pada Khamis telah meluluskan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif dibentangkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Kertas Putih yang dibentangkan itu mengandungi tiga mekanisme utama iaitu dilaksanakan secara sukarela, berteraskan insentif dan peruntukan yang disuntik kerajaan dan tanggungjawab pekerja dalam meningkatkan produktiviti.

Menurutnya, Dasar Gaji Progresif diperkenalkan untuk mereformasi struktur gaji pekerja Malaysia dan sebagai pelengkap kepada dasar sedia ada, iaitu Dasar Gaji Minimum dan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS).

“Model Dasar Gaji Progresif yang akan diperkenalkan ini membabitkan peningkatan gaji secara progresif seiring peningkatan produktiviti pekerja

“Ia akan diterjemah kepada tenaga kerja yang lebih bermutu dan produktiviti yang lebih tinggi setimpal dengan kenaikan gaji yang diterima,” jelasnya pada sesi perbahasan.

BACA LAGI: Skim baharu gaji penjawat awam diumum tahun hadapan

Kertas Putih itu diluluskan menerusi undian suara selepas ia dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen.

Sementara itu jelas Rafizi, hasrat utama kerajaan melalui dasar itu adalah untuk mewujudkan pasaran bakat yang lebih rancak, iaitu memastikan majikan menawarkan gaji berdasarkan penetapan gaji progresif mengikut sektor untuk menarik minat bakat yang diperlukan dalam perniagaan mereka.

Penyertaan secara sukarela oleh syarikat terhadap dasar itu jelasnya akan disokong kerajaan melalui bantuan insentif tunai untuk membantu majikan membiayai sebahagian kos untuk menyertai Dasar Gaji Progresif.

“Insentif ini diberi kepada syarikat yang memenuhi syarat dan kriteria untuk tempoh satu tahun bagi membolehkan syarikat menyesuaikan pelan perniagaan. Pemberian insentif ini akan dikaji setiap tahun berdasarkan kedudukan fiskal kerajaan,” tambahnya lagi.

Difahamkan projek perintis dijangka bermula Jun tahun depan dan kerajaan akan menilainya selepas empat bulan untuk menentukan hala tujunya.

Related Articles

Back to top button