Anwar

PM Anwar individu pertama miliki kemudahan Digital ID

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendaftarkan diri dengan Identiti Digital Nasional atau Digital ID, menjadikan beliau individu pertama di negara ini yang memiliki kemudahan Digital ID tersebut.

Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Tanpa menggantikan sistem MyKad, Digital ID merupakan platform yang dipercayai dan selamat, serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.

Dengan Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mendaftar dengan Digital ID, ia bakal memberi keyakinan kepada rakyat mengenai keselamatan serta ketelusan sistem berkenaan.

Pada 21 Nov lepas, Anwar mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM80 juta kepada agensi penyelidikan dan pembangunan (RD) Mimos Bhd, untuk menyegerakan pelaksanaan Digital ID dan memperkasakan transformasi digital, serta membangunkan inisiatif digital khususnya melibatkan urusan dengan kerajaan.

Anwar juga dilaporkan berkata, pendaftaran Digital ID juga merupakan langkah awal dalam pemberian subsidi bersasar, serta pelbagai kemudahan lain oleh jabatan kerajaan dan pihak swasta. – Bernama

Baca juga:

Related Articles

Back to top button