PRK Kemaman: 49 pusat undi, 244 saluran dibuka esok – SPR
Sebanyak 49 pusat pengundian dan 244 saluran mengundi dibuka esok bagi hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, semua persiapan berjalan lancar.
“Saya melawat pusat penjumlahan undi hari ini dan semua berjalan lancar”, katanya selepas melawat Pusat Penjumlahan Undi Di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.
“Saya nasihatkan calon, penyokong parti dan pengundi mematuhi semua peraturan, jangan pakai baju logo, bawa payung berlogo parti dan datanglah mengundi awal”, ujarnya.
Esok cuaca dijangka hujan awal pagi sehingga lewat petang, SPR menjangkakan hanya 70 peratus pengundi keluar akan keluar melunaskan tanggungjawab mereka.
“Selain bawa kad pengenalan, esok dijangka hujan dan datanglah awal menunaikan tanggung jawab sebagai pemilih”, katanya.
Jelasnya lagi, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman akan diumumkan paling awal jam 9.00 malam.
Tambah Abdul Ghani, proses menyemak peti-peti undi dan kertas undi yang diedarkan berjalan lancar.
Jelasnya, jumlah keseluruhan petugas SPR yang akan bertugas melebihi 2,000 orang, termasuk anggota polis.
PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana wujud unsur rasuah.
PRK Kemaman mempunyai seramai 141,790 pengundi yang layak termasuk jumlah pengundi awal.
Baca juga: