Sukan

Skuad Harimau Malaya perbaiki kedudukan dalam rangking dunia

Skuad Harimau Malaya mengukuhkan kedudukannya apabila berada di tempat ke-130 dunia.

Berdasarkan kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), skuad kendalian Kim Pan Gon itu melonjak tujuh anak tangga dari kedudukan sebelum ini.

Perkembangan positif itu dicapai susulan kejayaan Malaysia dalam saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan masing-masing menewaskan Kyrgyzstan 4-3 pada 16 Nov dan Taiwan 1-0 pada 21 Nov.

BACA LAGI: Kerajaan jaga kebajikan atlet paralimpik melalui pelbagai insentif

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam misi memastikan Harimau Malaya berada dalam kelompok 120 terbaik menjelang akhir tahun ini.

Bagaimanapun, Malaysia masih jauh ketinggalan daripada negara Asia Tenggara lain antaranya Vietnam di kedudukan ke-94 sementara Thailand di kedudukan ke-113.

Bagi zon Asia, lima pasukan terbaik ialah Jepun yang menduduki ranking ke-17 dunia, Iran (ke-21), Korea Selatan (ke-23), Australia (ke-25) dan Arab Saudi (ke-56).

Sementara itu, juara Piala Dunia 2022, Argentina kekal sebagai pasukan nombor satu dunia diikuti Perancis di tempat kedua, England (ketiga), Belgium (keempat) dan Brazil melengkapkan pasukan lima teratas dalam ranking FIFA.

Related Articles

Back to top button