Politik

Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan tolak dakwaan beri sokongan kepada PN

Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan menolak dakwaan seorang pemimpin Bersatu bahawa lebih 10 penyokong kerajaan akan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Spekulasi yang dinyatakan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Redzuan Yusof bahawa terdapat Ahli Parlimen daripada blok kerajaan, termasuk Barisan Nasional dan Parti Keadilan Rakyat akan menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu adalah palsu.

Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa berkata dakwaan Redzuan hanyalah ‘penyedap’ cerita untuk mengalihkan pandangan dan mengganggu gugat kestabilan kerajaan yang telah mendapat kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa.

“Saya yakin rakyat telah muak dengan cerita-cerita seperti ini, bahkan mahu kerajaan sedia ada kekal dan terus menerajui masa depan Malaysia,” katanya memetik laporan FMT.

Beberapa ahli parlimen PKR juga turut menolak dakwaan Redzuan dengan berkata ia lebih kepada usaha meningkatkan sokongan Bersatu selepas lima wakil rakyatnya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim berkata perkara itu tiada dalam pengetahuannya, bagaimanapun yakin usaha itu dilakukan selepas Bersatu hilang sokongan daripada wakil rakyatnya.

Manakala bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim turut menolak dakwaan berkenaan dengan menyatakan rakyat mahu kerajaan mentadbir sehingga tamat penggal.

“Hanya Ahli Parlimen kerajaan perpaduan yang ‘bodoh politik’ sahaja yang akan melompat atau menyeberang ke PN.

“Eloklah pemimpin PN berhenti dari melayan mimpi di siang hari mereka,” katanya yang turut mengingatkan pemimpin Bersatu untuk mendidik wakil rakyat untuk tidak ‘melompat-lompat’.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari pula menyifatkan spekulasi sedemikian sebagai ‘tidak berasas’ dan meminta pembangkang menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih mendesak.

Katanya lagi, ketidakstabilan politik baru-baru ini telah menjejaskan ekonomi negara dan keyakinan pelabur justeru beliau mengingatkan pemimpin politik tidak mengeluarkan kenyataan yang menggusarkan sehingga menimbulkan ‘spekulasi yang tidak menentu’.

“Rakyat mula bosan dan lelah,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button