Anwar

Penghidap HIV layak diberi peluang bina kerjaya dan kehidupan – PM Anwar

Penghidap Virus Kurang Daya Tahan Penyakit (HIV) layak diberi peluang untuk bekerjaya dan membina kehidupan tanpa dibebani dengan sikap prejudis dan diskriminasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru majikan menilai semula tatacara operasi piawai (SOP) sumber manusia supaya tidak menyisihkan golongan berkenaan.

“Terdapat ramai majikan masih berada di takuk lama dan enggan mengubah pendirian mereka berkenaan isu produktiviti dan risiko penularan HIV di tempat kerja.

“Orang yang hidup dengan HIV sepatutnya diberi peluang untuk berkerjaya dan membina kehidupan mereka sendiri, tanpa dibebani dengan prejudis dan diskriminasi.

“Saya menyeru majikan memberi perhatian penuh kepada isu ini kerana dengan sokongan anda, hak mereka dilindungi dan usaha kita untuk mengakhiri Aids menjelang 2030 akan berjalan lancar,” katanya memetik laporan Selangorkini.

Ucapan Perdana Menteri itu dibacakan Setiausaha Politiknya Datuk Azman Abidin pada Majlis Red Ribbon Gala Yayasan Aids Malaysia (MAF) di Sunway Resort Hotel di Subang Jaya, malam tadi.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu.

Dalam perkembangan sama, Anwar menyokong penuh usaha MAF untuk menggubal semula peruntukan undang-undang yang boleh memberi perlindungan kepada penghidap HIV.

“Saya difahamkan MAF dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang dalam proses memperhalusi cadangan pembaharuan rang undang-undang ini dan turut mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan serta beberapa syarikat berkaitan,” jelasnya.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button