Penjawat awam Negeri Sembilan terima bonus satu bulan setengah gaji – MB
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,500 kepada 6,662 orang penjawat awam di negeri itu
Pengumuman itu dibuat Aminuddin pada membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan pada Jumaat.
Jelasnya, BKK itu sebagai tanda penghargaan dan terima kasih Kerajaan Negeri kepada penjawat awam negeri itu, yang sentiasa komited dalam melaksanakan tugas diamanahkan.
Tambahnya, bonus berkenaan akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada hujung Februari dan hujung Mac 2024.
“Diharapkan bantuan khas kewangan ini dapat menyuntik semangat semua penjawat awam untuk bekerja dengan lebih gigih lagi,” katanya.
BACA LAGI: Selangor rancang bangun semula kuarters lama penjawat awam Persekutuan
Belanjawan bertemakan ‘Bersama Membina Negeri MADANI’ yang dibentangkan Aminuddin berjumlah RM555 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM520 juta dan belanjawan pembangunan mencecah RM140 juta.
Ia berpandukan sembilan teras dalam Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan dan Skim Sejahtera Rakyat merangkumi ekonomi, pelaburan serta infastruktur; pendidikan dan modal insan; kesejahteraan rakyat serta pertanian.
“Ini merupakan belanjawan pertama selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada Ogos lepas. Kita tekad jadikan Negeri Sembilan sebagai model negeri maju, bersatu padu, bertamadun, serta kehidupan rakyat aman dan sejahtera,” katanya.
Aminuddin sementara itu turut memaklumkan, sebanyak 284 projek telah dipertimbangkan pada tahun hadapan untuk maksud pembangunan melibatkan 220 projek baharu dan 64 projek sambungan atau projek sedia ada.