Nasional

Perkampungan setinggan di Pantai Dalam diserbu, 69 warga asing ditahan

Kawasan setinggan yang didiami warga Indonesia di Kampung Pantai Dalam, di Kuala Lumpur, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Penguatkuasaan, awal pagi hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, operasi itu dijalankan jam 1.30 pagi dengan kekuatan 111 pegawai Imigresen serta lapan pegawai daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Seramai 110 warga Indonesia diperiksa dengan 69 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Mereka yang ditahan berusia antara dua hingga 70 tahun membabitkan 45 lelaki, 23 wanita serta seorang kanak-kanak lelaki,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

Jafri berkata, antara kesalahan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dikesan dalam operasi itu adalah tiada permit sah dan tinggal lebih masa.

Serbuan itu, katanya dijalankan hasil daripada risikan selama seminggu selepas menerima aduan awam mengenai keberadaan warga asing yang menghuni kawasan itu.

“Kita pernah serbu kawasan ini pada tahun lalu dan ini adalah serbuan kali kedua di lokasi ini yang ramai didiami oleh warga Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, satu saman dikeluarkan terhadap seorang lelaki tempatan yang dipercayai melindungi warga asing mengikut Seksyen 55(e) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua Pati ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) akta sama, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button