Mahkamah

Polis tahan guru agama buat ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri

Pihak berkuasa polis menahan seorang guru agama di sebuah sekolah di Kulim selepas dipercayai membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya telah menerima lima laporan polis berhubung berhubung kenyataan guru sekolah agama itu.

“Polis menerima laporan dibuat seorang individu berkaitan hantaran di kumpulan WhatsApp sebelum hantaran itu dimuat naik ke laman Facebook ‘Team Cytop’.

“Berikutan itu suspek berusia 43 tahun ditahan sepasukan pegawai dan angota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan BSJD IPD Padang Terap di rumahnya.

“Dalam tangkapan itu polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di IPD Kubang Pasu, pada Jumaat.

BACA LAGI: Ugutan bunuh bukti budaya takfiri, ekstremisme menular

Sementara itu jelas Fisol, suspek direman empat hari dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Kesiksaan (KK) oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Sebagai rekod, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) baru-baru ini menggesa kerajaan bertindak tegas dalam mengekang ekstremisme atau perlakuan melampau dalam masyarakat khususnya penyokong parti politik.

Ia susulan beberapa kes ugutan dan cacian terhadap Perdana Menteri yang dilihat semakin berleluasa yang dibimbangi akan merosakkan keharmonian negara.

Pada 26 November lalu, pihak polis turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Kota Bharu, Kelantan yang menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang dapat menembak mati Perdana Menteri.

Related Articles

Back to top button