Negeri

Selangor peruntukkan RM300,000 untuk kerja pembersihan pascabanjir

Kerajaan Negeri Selangor terus mengambil langkah mendepani kemungkinan bencana banjir di negeri itu susulan Monsun Timur Laut.

EXCO Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi berkata, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM300,000 bagi menyediakan peralatan pembersihan pascabanjir di sembilan daerah di negeri itu.

Peruntukan itu jelasnya diserah kepada pegawai belia dan sukan daerah manakala operasi pembersihan kawasan terjejas banjir bakal dikendalikan pasukan Sukarelawan Selangor (SERVE).

“Kos RM300,000 merupakan peruntukan awal dan jika ada keperluan, negeri akan tambah (kos) mengikut keadaan banjir di kawasan yang terjejas.

“Antara kelengkapan yang disediakan ialah kereta sorong, ‘water jet’, getah paip (20 meter), penyodok, cangkul, ‘water sweeper’, berus penyapu, sarung tangan getah dan plastik sampah,” katanya dipetik laporan Selangor Kini.

Najwan Halimi yang juga ADUN Kota Anggerik berkata begitu pada majlis penyerahan peralatan SERVE di Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor di Shah Alam pada Jumaat.

BACA LAGI: KPDN ambil langkah pastikan stok makanan asas mencukupi dikawasan terkesan banjir

Sementara itu jelasnya, Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Selangor melantik semua pegawai belia dan sukan di daerah sebagai penyelaras pasukan SERVE

Malah 1,500 ahli SERVE sedia digerakkan bagi menjayakan kerja pembersihan di kawasan terjejas mengikut keperluan semasa.

“Belajar dari pengalaman bah tahun 2021 lalu, pasukan SERVE juga akan bekerjasama dengan Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (Satria) di bawah Kementerian Belia dan Sukan bagi memastikan bantuan diberikan dengan kadar segera,” katanya.

Related Articles

Back to top button