Semasa

TFST saran Dana Jaminan Khas digunakan untuk lindungi mangsa projek perumahan bermasalah

Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berusaha memastikan kebajikan pembeli yang menjadi mangsa projek perumahan bermasalah terbela.

Bagi tujuan itu, TFSF mencadangkan supaya projek di bawah program perumahan kerajaan atau pihak berkuasa negeri yang terkesan dengan kelewatan atau mengalami status sakit, menerima manfaat daripada Dana Jaminan Khas berjumlah RM1 bilion yang diperuntukkan melalui Belanjawan 2024.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mempengerusikan TFST berkata Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui urus setia TFST iaitu Jabatan Perumahan Negara (JPN) akan bersama Kementerian Kewangan meneliti dan memperhalusi kriteria untuk mengenal pasti kesesuaian dan keperluan dalam penentuan projek perumahan.

“Langkah ini bertujuan agar peruntukan yang diberikan dapat dimanfaatkan dan digunakan dengan optimum dalam pemulihan projek perumahan swasta bagi menjaga kepentingan pembeli,” katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: 26,286 unit rumah tidak terjual pada suku kedua tahun iniĀ 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut menjelaskan, pada Oktober sebanyak 50 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai dengan 4,986 unit perumahan telah berjaya dipulihkan.

Ia jelasnya merupakan rekod tertinggi sepanjang tempoh 10 bulan sejak TFST diwujudkan pada Januari lepas.

Kejayaan itu jelasnya menjadikan keseluruhan projek perumahan swasta berjaya dipulihkan adalah sebanyak 351 projek iaitu 43,738 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM32.87 bilion.

Sementara itu jelasnya, TFST telah merekodkan 55 projek lewat, 497 projek sakit dan 117 projek perumahan swasta disahkan hingga Oktober 2023 membawa nilai GDV sebanyak RM74.92 bilion.

Related Articles

Back to top button