Jawatankuasa Teknikal MA63 bakal bincang penurunan autonomi Januari ini – TPM
Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia (MA63) bakal mengadakan mesyuarat pada Januari 2024 dengan fokus menyelesaikan isu penurunan autonomi pendidikan dan kesihatan kepada Malaysia Timur
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagi tujuan itu jawatankuasa kerja MA63 akan membentang terlebih dahulu perkara-perkara tersebut kepada jawatankuasa berkenaan.
“Jika isu berkenaan belum dapat diselesaikan di peringkat jawatankuasa kerja, maka Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia (MA63) akan memainkan peranan untuk mencari penyelesaian.
“Seterusnya, ia akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan (MTP) MA63 dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya dipetik.
BACA LAGI: Peruntukan tinggi kepada Malaysia Timur untuk atasi masalah kesenjangan
Fadillah sebelumnya ditemui pemberita di Majlis Penutupan Program Promosi Kemahiran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Parlimen Petra Jaya di Kuching pada Sabtu.
Beliau sementara itu menjelaskan, mesyuarat jawatankuasa itu sepatutnya bermesyuarat pada 5 Disember, namun ditunda ditunda susulan ramai menteri persekutuan termasuk dari Sabah dan Sarawak terlibat dalam Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP28) Expo City, Dubai, Emiriah Arab Bersatu di Dubai.
Walaupun dijadualkan pada Januari, namun tarikhnya jelas Fadillah belum dimuktamad kerana ia perlu dibincangkan bersama-sama menteri-menteri yang lain terlebih dahulu.