Negeri

30,000 unit rumah mampu milik akan dibina di Johor menjelang 2026 – MB

Johor menyasarkan membina sebanyak 30,000 unit rumah mampu milik di seluruh negeri menjelang tahun 2026, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurutnya, jumlah kediaman perumahan yang selesa dan mampu milik untuk penduduk negeri itu meningkat berbanding sasaran awal ditetapkan sebelum ini iaitu 21,139 unit.

“Jumlah itu ditambah bagi membolehkan lebih ramai rakyat negeri ini termasuk dalam kalangan berpendapatan rendah juga mampu memiliki kediaman sendiri.

“Insya-Allah semua daerah di negeri ini akan mempunyai rumah mampu milik, dengan Johor Bahru (15,341 unit), Kluang (4,443 unit), Kulai (3,808 unit), Batu Pahat (1,534 unit), Mersing (1,456 unit), Muar (1,404 unit), Kota Tinggi (1,111 unit), Tangkak (738 unit), Segamat (587 unit) dan Pontian (381 unit),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada mesyuarat keempat (Belanjawan 2024) Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di Iskandar Puteri, hari ini.

Tambah Onn Hafiz, pihaknya juga berharap Kerajaan Persekutuan dapat melakukan intervensi lebih signifikan bagi memperkasa institusi Pesuruhjaya Bangunan.

“Ini termasuklah membuat penelitian sekiranya terdapat keperluan untuk meminda Akta Pengurusan Strata bagi menangani isu berbangkit khususnya melibatkan skim strata perumahan kos rendah.

“Di samping itu, kegagalan pengurusan flat kos rendah yang semakin usang juga adalah disebabkan kegagalan sesetengah pihak Perbadanan Pengurusan yang sewajarnya memainkan peranan dengan lebih berkesan setelah memungut yuran penyelenggaraan,” jelasnya.

Sementara itu, Onn Hafiz turut mencadangkan agar kerajaan persekutuan mempertimbangkan pelaksanaan kaedah digital sistem QR Code, sama seperti Singapura, bagi pergerakan keluar masuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), di negeri ini.

Katanya, ini merupakan salah satu daripada tiga cadangan kerajaan negeri dalam usaha kerajaan Malaysia dan Singapura menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Baca juga:

Related Articles

Back to top button