Affandi zahirkan penghargaan kepada pengundi, penyokong
Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menzahirkan penghargaan kepada semua pengundi yang memberikan sokongan kepadanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang diadakan semalam.
Dalam satu kenyataan, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera yang telah memberi sokongan dan membantu kempennya.
“Terima kasih kepada seluruh jentera UMNO, BN dan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat bahagian, negeri dan seluruh negara yang bertungkus-lumus membantu berkempen untuk saya.
“Sesungguhnya, kita hanyalah berusaha dan selebihnya saya berserah kepada Allah SWT,” katanya melalui kenyataan tersebut.
Mohamed Affandi sementara itu turut mengucapkan tahniah kepada lawannya, yang berjaya mengekalkan di kerusi Parlimen berkenaan.
Terdahulu, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab mengumumkan Menteri Besar, Ahmad Samsuri memenangi PRK tersebut, sekali gus mempertahankan kerusi dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihanraya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan Alias Che Hamid dari Pas setelah mendapati wujudnya unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.