GPP tapak perkhemahan: pengusaha diberi tempoh dua tahun untuk patuhi garis panduan
Pengusaha tapak perkhemahan di negara ini diberi tempoh dua tahun untuk mematuhi Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata garis panduan berkenaan yang berkuat kuasa bulan ini bertujuan menjadi panduan pengurusan dan pengoperasian tapak perkhemahan untuk pihak pengusaha dan operator tapak perkhemahan serta orang awam.
Ia diwujudkan bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali 16 Dis tahun lepas berulang.
“Kita buat garis panduan ini bukan untuk menghukum sesiapa. Ia dibuat untuk membantu pengusaha tapak perkhemahan kerana kita juga menerima maklum balas daripada mereka yang tidak tahu bagaimana nak mengikuti garis panduan.
“Penyediaan GPP ini ekoran kejadian tanah runtuh yang melibatkan sebuah tapak perkhemahan pada 16 Dis tahun lepas yang mengorbankan 31 nyawa,” katanya dalam satu sidang media sempena pelancaran GPP Tapak Perkhemahan di Taman D.R Seenivasagam di Ipoh pada Sabtu.
Siasatan terhadap insiden di Farher’s Organic Farm mendapati ia berpunca ketepuan air tinggi dan tanah tidak dapat menampung lebihan had air menyebabkan berlaku kegagalan cerun.
Keadaan itu menyebabkan dua kegagalan cerun di lokasi yang sama dalam tempoh 20 minit dengan tanah runtuh pertama berlaku sekitar jam 2 pagi, sebelum disusuli runtuhan kedua.
BACA LAGI: Hujan punca utama kejadian tanah runtuh Batang Kali
Sementara itu, Nga memaklumkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan garis panduan itu melalui pelbagai siri libat urus dan sesi perkongsian input kepakaran dengan pelbagai agensi.
Antara pihak terlibat adalah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Kerja Raya termasuk pihak berkuasa tempatan; dan 150 pengusaha tapak perkhemahan.
Garis panduan itu mengandungi enam prinsip meliputi keselamatan, keselesaan, kemampanan, kesinambungan sosial, kemakmuran ekonomi, dan kepatuhan perundangan.
Enam prinsip itu perlu dipatuhi supaya pengunjung yang pergi ke tempat perkhemahan akan berasa terjamin dari segi keselamatan dan keselesaan, seperti tempat perkhemahan dengan kawasan air terjun perlu dijarakkan sekurang-kurangnya 10 meter.