Nasional

KSM akan ketuai beberapa fungsi utama pelaksanaan Dasar Gaji Progresif

Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memberi komitmen terhadap modal Dasar Gaji Progresif yang mahu diperkenal kerajaan.

Menterinya, V Sivakumar berkata, kementerian itu akan mengetuai beberapa pelaksanaan fungsi utama termasuk mengadakan rundingan bersama pihak majikan dan kesatuan sekerja bagi tujuan pelaksanaan dasar berkenaan.

Selain penyediaan garis panduan bagi majikan dan pekerja, KSM juga jelasnya akan melaksana pemantauan, penilaian dan koordinasi pembangunan kepada usaha itu.

“Bagi pembangunan sistem, KSM terlibat dalam proses pendaftaran, pemilihan dan pemantauan syarikat. Bagi peningkatan kemahiran pula, KSM akan melakukan verifikasi latihan, pemeriksaan kualiti latihan, pengawalseliaan, pengauditan dan koordinasi latihan.

“KSM juga akan menyediakan panduan kenaikan gaji tahunan melalui penyediaan cadangan kenaikan gaji tahunan,” kata Ahli Parlimen Batu Gajah itu melalui satu kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI : Kerajaan peruntukkan RM30 juta, untuk projek rintis Dasar Gaji Progresif

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Dewan Rakyat pada 30 Nov lepas membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif, dalam usaha memastikan pekerja mendapat gaji lebih tinggi seiring peningkatan produktiviti.

Ia mengandungi tiga mekanisme utama iaitu dilaksanakan secara sukarela, berteraskan insentif dan peruntukan yang disuntik kerajaan dan tanggungjawab pekerja dalam meningkatkan produktiviti.

Susulan itu kerajaan bakal melaksana projek rintis Dasar Gaji Progresif pada Jun tahun hadapan dengan melibatkan 1,000 syarikat swasta termasuk perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS)

Sementara itu Sivakumar berkata, kerjasama antara KSM dan Kementerian Ekonomi dalam usaha pelaksanaan Dasar Gaji Progresif, akan meningkatkan taraf kehidupan pekerja berpendapatan rendah dengan memberikan upah yang lebih baik.

Langkah itu jelasnya dapat menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

Related Articles

Back to top button