Global

Malaysia komited pastikan AWGCC dilaksana dengan berkesan – Menteri Alam Sekitar

Malaysia memberi komitmen tinggi untuk memastikan Pelan Tindakan Kumpulan Kerja Perubahan Iklim ASEAN (AWGCC) dapat dilaksana dengan berkesan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Malaysia sebagai Pengerusi AWGCC akan berusaha memupuk kerjasama, memacu inovasi dan menyokong pelaksanaan berkesan pelan tindakan perubahan iklim kolektif dalam komuniti ASEAN.

“Malaysia mengiktiraf keperluan bagi respons pantas dan bermakna terhadap perubahan iklim,” katanya pada forum Kepimpinan ASEAN dalam Menangani Perubahan Iklim di Pavilion Malaysia di luar Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Nik Nazmi sementara itu berkata, terdapat keperluan bagi ASEAN untuk meneroka peluang dalam merundingkan isu kepentingan bersama berkaitan perubahan iklim sebagai satu suara memandangkan ia adalah penting kepada rantau ini.

“Sebagai contoh, saya amat percaya ASEAN adalah sebuah institusi yang mempunyai kuasa bagi mengetengahkan rundingan mengenai isu iklim di UNFCCC.

“Kepimpinan dan peranan ASEAN adalah aset belum diteroka yang boleh dimanfaat untuk merundingkan isu kepentingan bersama seperti Peralihan Adil, Pembiayaan Iklim, Kerugian serta Kerosakan dan Matlamat Global mengenai Adaptasi,” jelasnya.

Selain rundingan bersama itu, Nik Nazmi turut menekankan kepentingan untuk ASEAN membangunkan strategi mitigasi jangka panjang bagi memaklumkan perancangan dasar sektor dan rentas sektor selaras dengan laluan ke arah mencapai matlamat Perjanjian Paris.

Dalam hal itu tambahnya, Malaysia sedang merangka Strategi Pelepasan Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) dan Pelan Hala Tuju Sumbangan Ditentukan Negara (NDC), yang akan menjadi garis panduan komprehensif untuk aspirasi kita ke arah mencapai pelepasan sifar bersih seawal 2050.

“Antara keutamaan Malaysia ialah menggubal rang undang-undang perubahan iklim, penubuhan dana adaptasi negara dan pembangunan mekanisme pasaran karbon,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu.

Related Articles

Back to top button