Mahkamah

Polis siasat Muhyiddin, didakwa sekali lagi guna isu 3R untuk kempen

Pihak berkuasa polis sekali lagi membuka kertas siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan membabitkan 3R (agama, bangsa dan raja) pada kempen PRK Kemaman.

Siasatan terhadap Muhyiddin dilakukan mengikut Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mencetuskan keadaan tidak harmoni, jelas Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan polis berhubung perkara tersebut pada 29 November lalu.

“Kita terima laporan berkenaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu ceramahnya yang menyamakan penghijrahan dalam parti sebagai penghijrahan Rasulullah.

“Ini secara langsung mencetuskan keadaan tidak harmoni dan satu kertas siasatan telah dibuka,” katanya pada sidang media selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok pada Sabtu.

BACA LAGI: Polis sahkan siasat Sanusi berkait 3R, didakwa hina Sultan Selangor – KPN

Sebagai rekod, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Bersatu sering membuat kenyataan berkaitan 3R bagi meraih undi dan sokongan pengundi.

Pada September lalu, polis membuka dua kertas siasatan terhadap Muhyiddin juga atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur 3R ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Dipetik laporan media, Muhyiddin semasa berkempen mengeluar ‘fatwa’ haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH).

Selain membuat kenyataan yang seolah-olah mempermainkan hukum agama itu, Muhyiddin turut didakwa membuat kenyataan berkenaan orang Melayu akan hilang kuasa.

Related Articles

Back to top button