Inisiatif Payung Rahmah jadi jenama popular KPDN
Inisiatif Payung Rahmah diperkenal Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub telah menjadi jenama popular kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepanjang setahun pentadbiran kerajaan MADANI.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh menerusi program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM pada Ahad berkata, inisiatif itu meliputi pakej, bakul, jualan dan menu merupakan household bagi KPDN.
Jualan Rahmah dan Menu Rahmah jelasnya telah menjadi program yang paling banyak menerima sambutan dari rakyat.
“Dianggarkan Jualan Rahmah telah memanfaat lebih lima juta pengguna yang biasanya berbaris dan menunggu berjam-jam bagi menikmati diskaun 10 hingga 30 peratus,” katanya.
Fuziah turut memaklumkan, kejayaan Jualan Rahmah mendorong kementerian untuk memperkenalkan pula Jualan Rahmah bergerak melalui inisiatif Kedai Cari Rakyat dengan lori yang dapat memasuki kawasan B40 termasuk kampung, flat dan Program Perumahan Rakyat (PPR).
Inisiatif Payung Rahmah diperkenalkan awal tahun ini bertujuan membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19.
BACA LAGI: KPDN ambil langkah pastikan stok makanan asas mencukupi dikawasan terkesan banjir
Mengimbas semula pengenalan inisiatif itu bersama Allahyarham Salahuddin, Fuziah berkata KPDN ketika itu meletakkan harapan untuk inisiatif berkenaan menjadi penyelesaian jangka pendek masalah kos sara hidup rakyat dan mampu bertahan beberapa bulan.
Inisiatif itu dimulakan dengan peruntukan kecil iaitu RM100 juta dan kemudian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memberikan tambahan RM50 juta dan kesemua RM150 juta itu disalurkan untuk pemberian diskaun kepada pengguna.
Mengulas mengenai fokus untuk tahun depan, KPDN katanya akan memberi tumpuan kepada penyasaran subsidi diesel dan minyak masak.
Bagi diesel KPDN akan mengenal pasti lori membawa barang keperluan yang layak mendapat kad subsidi diesel supaya barangan tertentu tidak mengalami kenaikan harga ekoran peningkatan kos pengangkutan.
Bagi (penyasaran subsidi) minyak masak pula katanya, KPDN akan mengenal pasti mekanisme untuk membantu pengguna.